Monday, May 25, 2009

NOTIS MESYUARAT PERWAKILAN PPKMBNJ KE-11

Mesyuarat Perwakilan PPKMBNJ Kali Ke-11 akan diadakan pada hari Ahad 31 Mei 2009, jam 09.30 pagi di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah, Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat.
YB Dr Hj Mohd Puad bin Zarkasi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia @ Ahli Parlimen Batu Pahat @ Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, akan merasmikan mesyuarat tersebut.
YB Dato' Mohd Rashidi bin Mohd Nor selaku YDP PPKMBNJ mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada YB Timbalan Menteri Pelajaran atas kesudian beliau merasmikan mesyuarat dan terima kasih juga kepada PPKM Cawangan Daerah Batu Pahat, yang sudi menjadi tuan rumah bagi mengendalikan mesyuarat perwakilan PPKMBNJ Kali Ke-11.
Adalah diharapkan kepada semua yang dilantik sebagai perwakilan daripada PPKM Cawangan-Cawangan dan pemerhati supaya dapat hadir dan sama-sama memberi sokongan padu terhadap perjuangan PPKM demi kebajikan bersama.

(HJ JUMAAT BIN HJ ABU BAKAR)
Setiausaha PPKM Cawangan Batu Pahat.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PPKM B.PAHAT

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Daerah Batu Pahat Kali Ke-11 telah diadakan di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah Daerah Kecil Rengit Batu Pahat, pada hari Ahad 17 Mei 2009. Mesyuarat ini septatutnya dirasmikan oleh YB Hj Ayub Jamil, DUN Rengit, tetapi beliau tidak dapat hadir kerana pada tarikh dan masa yang sama, beliau mengiringi YB Datuk Seri Shafiee Afdal, Menteri Pembangunan Luar Bandar yang melawat kawasan kediaman orang asli Rengit.
En Suradi Abdullah, wakil PPKMBNJ, telah merasmikan mesyuarat tersebut. Mesyuarat berjalan dengan lancar dan pada tahun ini tiada pemilihan.
En Suradi Abdullah, juga merupakan Setiausaha Kehormat PPKMBNJ, dalam ucapan perasmian, telah menyatakan hasil perjuangan PPKM demi kebajikan para pesara. Beliau menyeru supaya lebih ramai lagi pesara kerajaan menyertai PPKM.
Mesyuarat ditangguhkan pada jam 01.00 petang.

PPKM lega

PPKM lega kesediaan kerajaan timbang semula tuntutan
KUALA LUMPUR 24 Mei - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) mengalu-alukan kesediaan terbaru kerajaan untuk menimbangkan empat tuntutannya yang dikemukakan sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Yang Dipertua PPKM Kebangsaan, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya semalam memberi harapan baru kepada 500,000 pesara di seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya akan mematuhi saranan Perdana Menteri supaya PPKM berunding dengan Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tuntutan itu.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri atas perkembangan terbaru ini, kami sangat berpuas hati apabila kerajaan bersedia untuk berunding mengenai empat tuntutan kami yang telah diperjuangkan sejak era Tun Dr. Mahathir lagi.
"Jika ia diluluskan, kami menganggap ini sebagai bonus bagi 500,000 pesara kerajaan di seluruh negara," ujarnya.
Wan Mahmood mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam mengenai kesediaan kerajaan untuk menimbangkan empat tuntutan PPKM demi kepentingan golongan itu.
Keempat-empat tuntutan itu ialah:
l Pemberian wang ihsan setiap pembayaran bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan;
l Pemberian pencen terbitan bagi wanita yang melangsungkan perkahwinan selepas bersara;
lPemberian pencen RM720 sebulan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun; dan
lPelantikan senator di kalangan ahli PPKM.
Menurut Wan Mahmood, selama ini pihaknya memang sentiasa berhubung dengan Bahagian Pencen JPA bagi memastikan perjuangan PPKM terhadapnya dilakukan berterusan.
Mengenai tuntutan pelantikan Senator di kalangan ahli PPKM, beliau menjelaskan, walaupun terdapat kira-kira 500,000 pesara kerajaan di negara ini namun golongan itu tiada wakil di Parlimen.
"Sedangkan, kita ada wakil pelakon menjadi Senator. Pihak lain dari kumpulan yang lebih kecil pun ada wakil.
"Jika dikira dari segi sumbangan kepada negara, pesara kerajaan juga banyak berjasa dan kami juga ada kelebihan," ujarnya.